Terletak di daerah Mersing, pengunjung mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke Fishing Bay Resort di Teluk Buih, Air Papan, Johor itu.
Perasaan tenang dapat dirasai sebaik menjejakkan kaki ke resort itu. Sepanjang menginap di bilik yang mengadap Laut Cina Selatan itu, setiap pengunjung pasti dapat menghirup udara segar sambil ditemani deruan ombak yang memecah pantai.
Ditambah pula dengan kicauan unggas di celah-celah pohon kelapa bersama hembusan bayu yang menyamankan, pastinya percutian di resort itu meninggalkan nostalgia terindah.
Sememangnya suasana seperti itu menjadi tarikan destinasi pelancongan yang sewajarnya menjadi pilihan bagi mereka yang ingin keluar daripada keriuhan dan hiruk-piruk bandar untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.
Fishing Bay Resort dimiliki Norazilah Mohd. Khalid dan di kawasan seluas 1.2 hektar. Ia adalah lokasi yang menarik bagi mereka yang gemarkan keindahan alam semula jadi.
Resort yang dibuka sebagai tempat peranginan eksklusif pada tahun 2000 itu diapit oleh Teluk Buih dan begitu popular dalam kalangan pelancong Singapura.
Kemudahan penginapan di resort itu meliputi 30 bilik daripada jenis standard, superior, family, deluxe dan junior suite.
Pengurus resort itu, Harmizi Nopura, 32, berkata, bagi mengekalkan keindahan semula jadi dan ciri tradisional serta memastikan pengunjung menyimpan kenangan manis yang sukar dilupakan, resort itu menyediakan segala kemudahan sama ada untuk berehat, beriadah, berhibur dan bersantai.
Pengunjung bukan sekadar menikmati keseronokan di resort, malah mereka boleh melakukan sukan pantai, mengadakan aktiviti laut seperti memancing, snorkeling, mandi manda dan melawat Pulau Gajah yang mempunyai sebuah gua yang terletak lapan kilometer dari resort ini," katanya kepada S2.
Bagi pengunjung yang inginkan cabaran, mereka berpeluang menjelajah dan mendaki bukit bersebelahan resort untuk melihat secara dekat pelbagai spesies tumbuhan sambil menikmati pemandangan indah Laut Cina Selatan.
Hamizi memberitahu, Restoran Baywatch Cafe pula menyajikan makanan ala Barat dan Thailand, selain makanan tempatan yang sentiasa membuka selera pengunjung.
Bagi menjaga tahap perkhidmatan yang berkualiti dan suasana damai yang eksklusif, resort kami boleh menampung seramai 100 tetamu dalam satu-satu masa.
Pengunjung pasti berpuas hati kerana Fishing Bay Resort bukan sahaja menyediakan segala yang diperlukan dalam menikmati suasana rehat yang damai dan menyeronokkan," tambahnya.
Menurutnya, yang penting sekarang adalah menjaga dan meningkatkan mutu perkhidmatan kakitangan resort.
Ini kerana katanya, layanan mesra kepada pengunjung sama ada pelancong tempatan mahu luar negara menjadi kunci kejayaan sesebuah resort.
Dari segi harga bilik pula, katanya, kadar pada hari biasa untuk jenis standard adalah RM118 sebilik, superior (RM168), family (RM228), deluxe (RM268) dan junior suite (RM488), manakala pada hujung minggu dan cuti sekolah, bilik standard berharga RM188, superior (RM238), family (RM378), deluxe (RM346) dan junior suite (RM588).
Apabila ramai yang melancong pada waktu puncak seperti musim cuti persekolahan dan perayaan, resort ini akan menjadi terlalu sibuk. Jadi, kadar diskaunnya agak terbatas," katanya.
Resort tersebut turut menawarkan pakej bulan madu dua hari satu malam bermula pada harga RM380 bagi setiap pasangan, selain turut menyediakan pakej keluarga, ulang tahun dan percutian bajet.
Kami memberi pilihan kepada pelanggan untuk memilih pakej yang sesuai berdasarkan bajet mereka. Apa yang penting, kami tidak akan menawarkan apa yang telah ditawarkan oleh pesaing kami.
Bagi kami, apa yang penting adalah dapat membangkitkan kenangan terindah kepada pengunjung dan menjadikan resort ini pilihan utama destinasi pelancongan rakyat negara ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130518/pl_01/Fishing-Bay-Resort-gamit-pengunjung#ixzz2UZ10irF2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Komentar
Posting Komentar